KOTA BELUD – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) merancang menggunakan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) berteknologi tinggi sebagai satu daripada komponen utama pertahanan udara khususnya dalam peninjauan perairan negara pada masa depan.
Panglima Tentera Udara Tan Sri Affendi Buang berkata TUDM menyedari penggunaan teknologi UAV mempunyai banyak kelebihan selain berfungsi secara lebih meluas.
“TUDM merancang untuk menggunakan UAV berteknologi tinggi pada masa hadapan khasnya dalam pemantauan udara di kawasan strategik seperti Laut China Selatan, Selat Melaka dan Laut Sulu dekat Sabah.
“Maklumat daripada UAV ini juga boleh dikongsi untuk keperluan pasukan keselamatan lain yang berkaitan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Mini Eksesais Paradise di Lapang Sasar Udara di sini hari ini.
Affendi berkata TUDM sedang menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti UAV yang mampu memenuhi keperluan semasa negara selain dilengkapi teknologi yang boleh dikongsi maklumatnya oleh pelbagai pihak di negara ini.
“Bukan setakat untuk pemantauan keselamatan sahaja, UAV juga boleh digunakan untuk keperluan lain seperti maklumat cuaca dan pelbagai lagi,” katanya.
Menurut beliau ada banyak jenis UAV dalam pasaran semasa termasuk yang berteknologi tinggi dan mampu terbang lebih jauh, namun pilihan utama adalah UAV yang dapat disesuaikan dengan keperluan keselamatan negara selain keperluan agensi dan jabatan kerajaan lain.
Selain itu, Affendi turut berpuas hati dengan kejayaan latihan Eksesais Mini Paradise 4/2017 pagi ini yang membabitkan penyertaan anggota dan aset TUDM.
Demonstrasi selama 25 minit itu melibatkan beberapa pesawat TUDM seperti pejuang HAWK, pesawat Hornet F/A-18D, pesawat tempur Sukhoi SU30MKM, helikopter pengangkut EC725 dan pesawat Nuri dan kira-kira 500 pegawai dan anggota TUDM.
Objektif latihan untuk meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan negara dan menilai integrasi di antara pelbagai elemen pesawat pejuang/tempur. – BERNAMA