KOTA BHARU – Jabatan Imigresen Kelantan menahan dua pemandu bas ekspres yang disyaki terlibat dengan aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negara ini menggunakan kenderaan awam.
Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata pemandu pertama dan kedua bas terbabit ditahan pada 11.15 malam semalam di Kampung Manal, Tanah Merah.
“Kami mengesan sebuah kereta Proton Waja yang membawa beberapa orang Pati dari arah bandar Tanah Merah menuju ke kampung berkenaan selepas mendapat maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyeludupan pendatang asing,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata anggotanya mengekori kereta tersebut hingga ke kampung itu dan mendapati sebuah bas ekspres dua tingkat yang dipercayai menuju ke Perak, sedang menunggu untuk mengambil Pati terbabit.
Katanya anggotanya menyerbu kereta yang berhenti di belakang bas berkenaan namun pemandunya berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta lain.
Pemeriksaan terhadap bas itu menemui 14 warganegara Myanmar berumur antara 19 dan 38 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, katanya.
Beliau berkata dua pemandu bas berusia 40 dan 43 tahun itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk siasatan manakala 14 Pati dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata pengusaha dan pemandu terbabit akan dikenakan tindakan tegas bagi membanteras kegiatan penyeludupan Pati ke negara ini. – BERNAMA