KANGAR – Tujuh individu termasuk seorang wanita Vietnam ditahan dalam tiga kes berasingan disyaki membabitkan pengedaran serta penagihan dadah di Arau dan Padang Besar dekat sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis, DSP Hasmerra Hassan berkata dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Baru Chuping, Mata Ayer, Padang Besar dekat sini semalam, empat lelaki ditahan pada 10.50 pagi.
“Hasil ujian urin mendapati mereka semua positif dadah jenis amphetamine dan polis merampas dadah jenis heroin seberat 155.87 gram, syabu 97.16 gram serta ganja 6.42 gram dan 13 biji pil disyaki jenis yaba atau kuda, lima pil erimin 5 yang keseluruhannya bernilai RM9,800,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM15,000 dipercayai hasil jualan dadah dan sebuah kereta jenis Honda Accord milik suspek.
“Suspek berumur 30 hingga 43 tahun itu direman hingga 22 Nov ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya.
Hasmerra berkata satu lagi kes membabitkan penahanan dua suspek termasuk seorang wanita Vietnam, kedua-duanya berusia 30-an, di hadapan Maktab Rendah Sains Mara Beseri dekat sini, pada 10.50 pagi Jumaat lepas.
Beliau berkata polis menahan dan memeriksa kereta jenis Suzuki Swift yang dipandu suspek lelaki tempatan dan mendapati bahagian penutup ruangan beg udara penumpang hadapan renggang sebelum menjumpai sebuah beg kain berwarna biru di dalamnya.
Katanya pemeriksaan lanjut di dalamnya menemukan dadah jenis syabu seberat 52 gram, heroin (88 gram), ketamin (11.5 gram) serta 158 biji pil erimin 5 yang bernilai RM8,149.
“Lelaki dan wanita Vietnam yang mempunyai dokumen perjalanan yang sah itu, direman hingga 17 Nov ini bagi membantu siasatan, juga menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu, kes ketiga melibatkan tangkapan seorang lelaki berusia awal 30-an yang dalam milikannya terdapat dadah jenis syabu seberat 22 gram, satu ketulan mampat ganja (46.7 gram) serta 12 biji pil yaba, dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Padang Telela, Pauh pada 12.30 tengah malam Isnin lepas.
Beliau berkata nilai rampasan dadah ialah RM1,800 dan suspek direman hingga 20 Nov bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum seumur hidup dan minimum 10 sebatan. – BERNAMA

