KUALA LUMPUR – Tiga puluh peratus wanita Asia yang mengandung dalam tiga tahun lepas tidak menyedari kemungkinan bakal menghidap diabetes ‘gestational’ ketika mengandung.
The Sun Life Financial Asia Diabetes Awareness, sebuah pertubuhan kesihatan, dalam tinjauannya baru-baru ini menonjolkan wujudnya jurang pengetahuan yang membimbangkan tentang diabetes, sambil mengambil perhatian bahawa ini menjejas satu pada setiap tujuh kelahiran di Asia.
“Malaysia mendahului dengan peratusan tertinggi berlaku diabetes 17.9 peratus diikuti oleh Hong Kong dan Filipina masing-masing 9.6 dan 6.9 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tinjauan itu juga mendedahkan 31 peratus daripada responden di rantau Asia tidak mengetahui bahawa terdapat lebih daripada satu jenis diabetes dan 42 peratus daripada mereka tidak menyedari hakikat bahawa wanita mengandung menghadapi risiko mendapat diabetes.
Tinjauan itu turut menunjukkan bahawa 45 peratus daripada responden berpendapat diabetes merupakan beban kewangan terutama terhadap sistem penjagaan kesihatan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif dan juga Presiden/Country Head Sun Life, Raymond Lew berkata Sun Life telah bekerjasama rapat dengan Diabetes Malaysia untuk menyediakan bantuan kewangan bagi membeli bekalan pengesan diabetes untuk kanak-kanak dan keluarga tidak berkemampuan. – BERNAMA