KUALA LUMPUR – Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) menggesa agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pekerja kontrak warga China yang menyerang anggota polis, Sabtu lalu.
Presiden Patriot Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata tindakan pekerja asing itu agak keterlaluan dan akan memberi kesan negatif sekiranya tidak dibendung.
“Mereka yang terlibat ini harus diusir dengan serta merta. Sekiranya kerajaan tidak menunjukkan ketegasan dalam menangani kejadian yang dilakukan oleh rakyat China ini, kemungkinan perkara yang sama juga boleh dilakukan oleh pekerja rakyat negara lain yang ada di negara ini.
“Ini kerana, keselamatan dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromikan, malah ia mesti dipertahankan oleh rakyat berbilang bangsa yang cinta akan tanah pusaka ini,”katanya.
Dalam kejadian 10.30 malam Sabtu lalu, sepasukan anggota unit kereta peronda yang sedang melakukan pemeriksaan berhubung kegiatan perjudian di hadapan kediaman pekerja kontrak di Jalan Imbi telah diserang kira-kira 20 hingga 30 pekerja warga China.
Menyedari ancaman itu, anggota polis terbabit terpaksa melepaskan tembakan bagi mengawal keadaan. – BERNAMA

