JIKA mahu melihat perpaduan sesebuah masyarakat, lihatlah perilaku mereka semasa berlakunya bencana.
Dan masyarakat di negara kita bukanlah setenat yang diperbesar-besarkan selama ini, seperti yang boleh diperhatikan daripada insiden yang berlaku di Taman Free School, Georgetown, Pulau Pinang yang baru-baru ini tular di media sosial.
Gambar viral yang memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita dewasa berbangsa Cina yang menumpang di Surau Taman Free School, di sini, menjadi bukti keteguhan perpaduan antara kaum berlainan bangsa dan agama di Malaysia.
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, ramai penduduk cuba menyelamatkan diri dengan mahu menumpang di kuil berhampiran, namun arus deras menghalang mereka untuk ke kuil berkenaan.
Menurut bilal surat tersebut yang bernama Sapno Tukijo, 50, kuil itu hanya terletak beberapa meter di seberang jalan dan saya cuba membawa mereka dengan mengikat tali di tiang elektrik, namun gagal kerana arus deras.
“Saya akhirnya mempelawa mereka menumpang di surau dan mereka akur demi keselamatan mereka,” katanya kepada BH Online.
Pada mulanya mereka segan kerana menghormati surau, tetapi situasi pada waktu itu sangat genting kerana air sudah mencecah paras dada.

Jumlah sebenar mangsa yang ditempatkan di surau berkenaan seramai 70 orang, membabitkan masyarakat Cina dan India yang tinggal di kampung sekitar Lengkuk P Ramlee, di sini.
Sementara itu, kata Sapno, meskipun rata-rata netizen memuji kebaikan pihak surau tersebut namun masih terdapat segelintir netizen yang mengutuk tindakan membenarkan orang bukan Islam berlindung di dalam surau tersebut.
Namun, dia tidak mempedulikan pandangan orang ramai di media sosial yang mengecam gambar berkenaan, kerana apa yang lebih penting ialah keselamatan semua pihak.
“Saya tahu ada yang akan mengecam tindakan itu, namun saya akan berasa lebih bersalah sekiranya melihat mereka tanpa arah tujuan atau lebih buruk dihanyut arus deras,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, kesemua 70 mangsa banjir terbabit sudah pulang.
Kejadian itu turut mendapat pujian Exco Pemuda UMNO Malaysia iaitu Dr. Fathul Bari, yang menyifatkan kebaikan hati pihak pengurusan surau tersebut sebagai salah satu contoh keindahan ajaran Islam.
Indahnya Islam dan bijaknya ajk masjid di bawah yg beri ruang kpd mangsa banjir non-muslim. jgn ada “taliban” yg haramkan sudah! pic.twitter.com/TzWkOZsl2z
— Dr. Fathul Bari (@drfathulbari) November 6, 2017
Tambah Dr. Fathul lagi, beliau berharap agar nilai murni yang ditonjolkan ahli jawatankuasa Surau Taman Free School ini tidak akan dikecam oleh umat Islam yang mengamalkan doktrin Talibanisme.
Apa-apa pun, kami mahu ucapkan tahniah kepada AJK surau tersebut kerana menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Inilah apa yang benar-benar diajar dalam agama Islam, iaitu sifat ihsan! – MYNEWSHUB.CC

