LABUAN – Mayat lelaki berusia 51 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke laut ketika membaiki kelong di perairan Tg Aru, Menumbok, pada Selasa malam, dijumpai nelayan tempatan hari ini.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata mayat Ag Tahir Daud dijumpai terapung-apung pada 7 pagi kira-kira 3 batu nautika dari kelong tempat dia dipercayai terjatuh.
“Mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam insiden kira-kira 9 malam itu, mangsa dipercayai terjatuh ke laut, kira-kira 1 batu nautika dari pantai, ketika sedang membaiki struktur kelong berkenaan. – BERNAMA

