JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim diatas pemergian tokoh korporat itu hari ini.
Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, pemergiannya merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Johor, malah seluruh tanahair.
“Beliau merupakan tokoh korporat dan usahawan Melayu kelahiran Johor yang berwibawa dan banyak berjasa.
“Keupayaan dan sumbangan Allahyarham tidak boleh dinafikan. Beliau telah menerajui JCrop selama lebih 28 tahun dan di bawah kepimpinannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata, JCorp berjaya dibina hingga menjadi antara konglomerat utama negara.
Kata beliau, Allahyarham juga banyak menyumbang bakti dalam pembangunan prinsip perniagaan Islam dan ia memberi impak positif yang cukup signifikan bagi memajukan prinsip tersebut.
“Antaranya melalui instrumen Waqaf Korporat. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah S.W.T dan ditempatkan bersama-sama orang yang dikasihinya jua,” katanya. – MYNEWSHUB.CC