KUALA KANGSAR – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) menyasarkan kutipan zakat RM186 juta tahun ini, berbanding RM150 juta tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Dr Amiruddin Muhamed berkata sasaran itu dijangka dapat dicapai berdasarkan kesedaran masyarakat terutama kalangan swasta dan orang perseorangan yang semakin meningkat setiap tahun.
Pada tahun lalu, MAIPk mengutip zakat RM151 juta berbanding sasaran RM150 juta, katanya.
“Zakat yang dikutip itu kami salurkan kepada golongan asnaf yang layak menerimanya dan ini membuktikan kepada orang ramai yang MAIPk telus dalam mengagihkan setiap wang zakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program penyampaian sumbangan dan bantuan zakat sempena program Ziarah Korporat 2017 oleh Yang Dipertua MAIPk Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin di perkarangan pejabat agama Islam di sini hari ini.
Antara penerima sumbangan dan bantuan pada majlis itu adalah 5,000 pelajar fakir miskin yang mendapat sumbangan baucer persekolahan, 774 anak yatim menerima bantuan baucer persekolahan, sumbangan kepada 31 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain dengan nilai keseluruhan RM2 juta.
Sementara itu, Amiruddin berkata MAIPk melalui Wakaf Perak Ar Ridzuan dan Wakaf Maybank Islamic Berhad telah menyalurkan sebanyak RM15 juta bagi pembinaan pangsapuri lima tingkat di kampus Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Katanya, pembinaan dua blok bangunan itu membabitkan 75 unit kediaman untuk memberikan kemudahan kepada 720 pelajar USAS yang telah diduduki pelajar setelah ia siap dibina pada September lalu.
Sementara itu, Mohd Asri Hussin, 56, penerima bantuan motosikal roda tiga yang bernilai RM6,821.64, berkata dia bersyukur menerima bantuan itu bagi memudahkannya dan isteri, Juita Abdul Rahman, 54, menjalankan perniagaan menjual kuih.
Beliau yang berasal dari Kampung Kota Lama Kiri, menghidap kencing manis berkata sebelum menerima bantuan tersebut, isterinya berniaga kuih di sekitar pekan Kuala Kangsar dengan pendapatan sekitar RM50 sehari.
Mohd Asri juga menjalankan perniagaan kimpalan secara kecil-kecilan bagi menambah menampung tiga anak berumur 18, 17 dan 16 tahun yang masih bersekolah. – BERNAMA
