KUALA LUMPUR – Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa kerajaan mewujudkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja untuk mengenal pasti kelemahan yang terdapat dalam pengurusan bencana banjir di negara ini.
Beliau mendakwa, langkah itu bagi membolehkan pengurusan bencana banjir akan menjadi lebih efektif dalam berhadapan bencana serupa pada masa depan.
“Suruhanjaya siasatan diraja ini bagi memastikan bencana itu pada masa depan tidak akan merisikokan nyawa orang ramai dan kerugian yang besar yang dianggarkan RM1 bilion kali ini,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kit Siang mendakwa, cadangan itu juga dibuat kerana Majlis Keselamatan Negara (MKN) kelihatan tidak bersedia untuk berhadapan dengan banjir yang besar sejak beberapa minggu lalu.
Beliau dalam pada itu tetap menggesa supaya pengisytiharan darurat dibuat kerana bencana banjir bukan sahaja semasa banjir tetapi juga selepas banjir.
Dakwanya, pengurusan selepas banjir surut perlu untuk menghadapi pelbagai cabaran selepas banjir termasuk kerosakan infrastruktur dan bantuan kepada mangsa. – mynewshub.cc

