SEMPORNA – Pengumuman bayaran khas one-off RM1,500 kepada 65,000 golongan agama dalam Bajet 2018 membuktikan kerajaan tetap prihatin terhadap imam, bilal, tok siak, guru Kelas Agama Fardu Ain dan guru takmir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pemberian itu menggambarkan ketelusan jiwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu segenap lapisan komuniti disantuni termasuk golongan pendakwah Islam.
“Misalnya imam merupakan individu yang sentiasa diperlukan pada bila-bila masa termasuk ketika majlis nikah, bacaan doa serta imam di masjid.
“Dan perdana menteri melihat keberadaan golongan agama ini penting dalam masyarakat dan perlu dihargai,” katanya kepada pemberita.
Beliau menghadiri program bersama rakyat dan pelancaran kaunter bergerak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) di Pulau Bum Bum di sini hari ini.
Jamil Khir berharap pengumuman bayaran khas itu memberi motivasi kepada golongan tersebut agar lebih gigih menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.
Semalam Najib mengumumkan bayaran khas tersebut akan diberikan pada Januari 2018 sebanyak RM1,000 dan RM500 lagi menjelang Hari Raya Aidilfitr melibatkan peruntukan hampir RM100 juta. – BERNAMA