KUALA LUMPUR – Jumlah pelaburan dalam negara, merangkumi pelaburan swasta dan awam, dijangka meningkat sebanyak 6.7 peratus kepada RM369 bilion di bawah Bajet 2018, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata pelaburan keseluruhan akan menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018.
“Dalam hal ini, kerajaan akan terus menekankan pelaburan berimpak tinggi seperti petroleum, logistik, rel, automasi dan robotik, serta industri berasaskan eksport,” katanya semasa membentangkan Bajet 2018 di Parlimen di sini, hari ini.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaburan swasta dijangka mencecah RM260 bilion tahun depan berbanding RM81 bilion pada 2009 manakala pelaburan sektor awam dijangka mencecah RM109 bilion pada 2018 berbanding RM75 bilion pada 2009.
Beliau berkata, ia sejajar dengan objektif Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk menjadikan sektor swasta sebagai “engine of growth”.
Kerajaan merancang untuk memperuntukkan RM1 bilion kepada lima koridor ekonomi utama di Malaysia, katanya.
Kerajaan akan membangunkan Wilayah Selatan Perak, merangkumi pembangunan Proton City, Bandar Pendidikan dan Bandar Belia di Tanjung Malim, Perak; Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, Kedah; pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian Tok Bali, Kelantan serta jalan akses ke Empangan Baleh, Sarawak, katanya.
Najib juga berkata, bagi terus meletakkan Malaysia sebagai lokasi pelaburan langsung asing, galakan cukai bagi Principal Hub akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
Bagi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta untuk dana strategik berimpak tinggi, katanya.
Beliau berkata, eksport negara akan terus dipergiat, terutama kepada sektor eksport yang bernilai tinggi menerusi peruntukan RM150 juta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), MIDA dan SME Corp bagi melaksanakan promosi dan peluasan pasaran eksport.
RM1 bilion akan disediakan oleh EXIM Bank bagi kemudahan kredit perlindungan insurans, dan RM200 juta untuk kemudahan kredit pembiayaan kepada pengeksport perusahaan kecil dan sederhana.
Najib berkata, RM100 juta pula disediakan sebagai pinjaman dengan 70 peratus Jaminan Kerajaan bagi mengautomasikan pengeluaran perabot tempatan untuk tujuan eksport.
Bajet 2018 bertema “Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi, Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Menuju Aspirasi TN50”. – BERNAMA