PETALING JAYA – Enam belas pasukan termasuk enam kelab tempatan akan bertarung dalam edisi ke-47 Ragbi Cobra 10 Sebelah yang akan berlangsung selama dua hari bermula 11 Nov ini di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini.
Pengerusi penganjur pertandingan, Tan Sri Krishnan Tan berkata penganjuran kali ini lebih istimewa kerana Cobra yang ditubuhkan pada 1967 akan menyambut ulang tahun ke-50.
“Kami berharap kejohanan tahun ini akan menaikkan lagi kualiti permainan ragbi di negara ini dan pastinya pasukan Cobra akan berjuang habis-habisan sebagai pasukan tuan rumah,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Selain Cobra, pasukan tempatan lain ialah ERC Borneo Eagles, KL Tigers, Panthers Blowpipe RC, NS Wanderers serta juara bertahan Sabah Eagles.
Kelab luar negara pula ialah Duka Old Boys dan Western Province dari Afrika Selatan; Singapore Barbarians (Singapura); Daveta (Fiji); Global Lions, Auckland Varsity Vipers dan North Harbour (New Zealand); Charis Wolfpacks Rugby dan West RFC (Australia).
Untuk rekod, Cobra telah menjuarai kejohanan tersebut sebanyak enam kali — pada 1968, 1972, 1975, 1977 (johan bersama Sembawang Tigers dari Singapura), 1998 dan 2008.
Juara akan membawa pulang US$10,000 (kira-kira RM42,335) manakala tempat naib juara menerima US$6,000 (kira-kira RM25,401). – BERNAMA