FAM melengkapkan budaya ‘untouchable‘ dalam menerima kritikan luar. Tidak cukup dengan peranan Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang menjadi meriam tambatan semalam.
Hari ini sojar tambatan baharu pula. Satu lagi nama memulakan kempen bagi mempertahakan kekebalan FAM. Orangnya ialah CEO FMLLP, Kevin Ramalinggam.
Entah balik semak mana, tiba-tiba Kevin muncul di Facebook mengkritik teguran bekas bintang nasional, Datuk Jamal Nasir berhubung isu prestasi pemain dalam skuad kebangsaan.
Bersungguh-sungguh Kevin mempertahankan polisi skuad Johor. Bahawa, tindakan JDT membeli banyak pemain kebangsaan untuk diletakkan di bangku simpanan, bukan punca kemerosotan skuad kebangsaan.
Menerusi laman Facebook FMLLP, Kevin Ramalingam tidak bersetuju dengan pendapat Jamal Nasir. Bahkan menurut Kevin:
“Setiap orang mungkin berhak memberikan pendapat. Secara peribadi, saya merasakan bahawa ia adalah komen yang sangat sempit pemikirannya.
“Apabila Sepanyol tersingkir awal (berbanding dengan permainan biasa mereka) dari Euro, adakah itu kesalahan Real Madrid? Sekiranya prestasi Jerman teruk, adakah kesalahan Bayern Munich?”
Perghhh. Ke Sepanyol perginya. Ke Bayern Munich rujukannya. Limau kecut dan epal dijadikan perbandingan?
Mr. Kevin! Please la. Jangan lantun terlalu cepat. Bagilah ruang untuk orang komen. Anda jadi sebahagian daripada tragedi memalukan rakyat Malaysia dengan mencorotkan skuad Harimau Malaya ke ranking 170 Terbaik Dunia.
Maka, orang dalam FAM kena ambil masa sedikit untuk mendengar komen dan lontaran idea. Pasti tidak semua idea menyenangkan. Tetapi melantun tidak bertempat, menjadikan FAM kelihatan seperti memiliki banyak meriam tambatan.
Buka telinga dan minda. Mendengar dan mempertimbangkan pandangan profesional dan komen awam tidak menjejaskan apa-apa.
Mesti ada karektor berjiwa besar. Takkan hari-hari FAM perlu melenting dan pasang meriam?
Anda semua skuad artileri tambatankah? Sampai sedikit ruang pun tidak diberikan untuk orang mengkritik dan mengemukakan idea? Kata Kevin:
“Realitinya adalah liga dengan pasukan yang mendominasi atau sebilangan kecil pasukan yang mendominasi (Jerman, Itali, Sepanyol, Perancis) telah menghasilkan lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa daripada liga dengan lebih banyak pasukan yang mencabar gelaran tersebut (England). Itu fakta.”
Itu pandangan anda. Pasti anda memiliki ruang dalaman yang terbuka untuk menyampaikan pamdangan pada FAM. Cuma sekarang, mana-mana idea dan kritikan dari luar FAM, berikan ruang dan perhatian.
Anggap ia sebagai sebahagian daripada budaya analisis yang kritis!
Kalau FAM banyak sangat meriam, susahlah. Bom tambatan meledak di merata tempat. Ia mencetuskan budaya bertahan yang sangat mencurigakan! – MYNEWSHUB.CC

