SEPANG – Nurul Farhana Ahmad yang pulang ke negara ini selepas menghilangkan diri dua tahun lalu kerana ikut kekasihnya warga Indonesia berazam untuk membesarkan anak tunggal dan memulakan hidup baharu.
Beliau bersama anak lelakinya Askara Alfateh Ali yang berusia 15 bulan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Kedua (klia2) di sini dari Medan hari ini.
Kepulangannya ditemani Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi yang berjaya menjejaki Nurul Farhana selain menguruskan proses dokumentasi untuk membawanya pulang.
Nurul Farhana, 25, disambut ibunya Normah Yusof, 51, dari Sekinchan, Selangor yang menunggunya di luar balai ketibaaan.
Beliau yang menitiskan air mata apabila melihat ibunya berkata beliau tinggal bersama makcik suaminya di Medan dan mengambil keputusan untuk hubungi ibunya bulan lepas bagi memaklumkan hasratnya pulang ke kampung.
Normah ketika ditemui berkata beliau bersedia untuk menerima semula Nurul Farhana bersama anak lelakinya dan melupakan perkara yang lepas.
Budiman memberitahu pemberita ketika pertama kali menemui Nurul Farhana beberapa minggu lepas, wanita itu berada dalam keadaan murung kerana tidak mempunyai wang dan buntu selepas suaminya menghilangkan diri.
“Nurul Farhana berjaya ditemui di perkampungan Batubara kira-kira empat jam memandu dari kota Medan. Saya turut ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga suaminya di Indonesia.
“Mereka membenarkan saya bawa pulang ibu dan anak ini selepas berunding,” katanya. Nurul Farhana hilang dua tahun lalu apabila tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja di kilang pemprosesan sotong kering di Sekinchan.
Kisahnya mendapat perhatian Budiman apabila ibunya memohon bantuan untuk membawa pulang anaknya selepas menerima panggilan telefon dari Nurul Farhana bulan lepas yang mengadu hidupnya sangat susah di Indonesia dan ingin pulang ke Malaysia. – BERNAMA