KUANTAN – Pegawai dan petugas Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang (BTPN) dinasihatkan supaya berhati-hati semasa berurusan dengan pembekal dan pihak kontraktor sebagai langkah pencegahan daripada rasuah.
Ketua Penolong Pengarah BTPN, Mohamed Kamal Hashim berkata hubungan yang terlampau akrab boleh mendedahkan mereka kepada mendekati rasuah.
“Rasuah dalam kalangan penjawat awam sudah menjadi satu penyakit dan sepatutnya perkara demikian tidak berlaku jika kita sedar akan tanggungjawab yang dipikul,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ikrar Bebas Rrasuah (IBR) BTPN 2017 di sini hari ini yang melibatkan 50 pegawai dan petugas jabatan itu.
Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Pahang Datuk Alias Salim.
Mengulas lanjut, Mohamed Kamal berkata kecanggihan teknologi zaman sekarang juga memudahkan kegiatan mereka dikesan.
”… dengan satu muat turun sahaja, penglibatan kita boleh tular di media sosial,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Kamal berkata semua pegawai dan kakitangan jabatan perlu berfikir semasak-masaknya sebelum terlibat dengan rasuah, selain mengamalkan prinsip amanah dan integriti yang baik. – BERNAMA