JOHOR BAHRU – Empat sekawan ditahan polis berikutan penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di sebuah perhentian bas di Jalan Persiaran Sungai Danga, Nusa Bistari, di sini, pada 21 September lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Noor Hashim Mohamad berkata keempat-empat mereka yang berusia antara 22 dan 41 tahun, ditahan di empat lokasi berlainan iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Taman Nusa Bistari, Taman Nusa Sentral dan Taman Nusa Puncak, sekitar bandaraya Johor Bahru, antara 29 Sept hingga hari ini.
Menurut beliau, dua daripadanya merupakan pegawal keselamatan yang bekerja di Singapura manakala dua lagi masing-masing merupakan juruteknik kilang dan penjaga kuda, juga di Singapura.
Katanya, siasatan awal mendapati motif pembunuhan adalah kerana ketidakpuasan hati suspek yang mendakwa mangsa mencuri duit dan barangan kemas mereka.
“Mangsa, S.Navina, 19, yang berasal dari Ipoh, Perak merupakan rakan serumah mereka di Taman Bukit Indah di sini sejak enam bulan lalu dan tidak bekerja,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata berdasarkan semakan, kesemua suspek tiada rekod jenayah dan mangsa pula mempunyai satu rekod berhubung kes curi pada 2015.
Noor Hashim menambah pihaknya kini memburu dua lagi lelaki yang juga rakan serumah mangsa dan seorang wanita yang merupakan teman wanita seorang daripada suspek untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam perkembangan lain, Noor Hashim berkata seorang lelaki warga Indonesia cedera di kepala akibat ditikam rakan kerjanya sendiri dalam kejadian di Taman Nusa Bestari di sini, pagi ini.
Menurut beliau, kejadian berlaku pada pukul 7 pagi ketika mangsa yang berusia 20-an sedang leka bermain permainan video bersama seorang rakannya tanpa menyedari tindakan mereka mengundang bunyi bising.
Beliau berkata berang dengan perbuatan mangsa, suspek yang sedang tidur di sebuah bilik asrama mereka telah keluar dan menikam mangsa menggunakan sebilah pisau lipat, sebelum masuk semula ke dalam biliknya.
Mangsa yang cedera di bahagian kiri kepala kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis selepas itu.
“Susulan laporan, polis pergi ke tempat kejadian dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun. Sebilah pisau lipat berukuran kira-kira 15cm yang dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa turut dirampas,” katanya.
Noor Hashim berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. – BERNAMA