KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyarankan golongan majikan terutama pihak swasta menyediakan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak atau taska di tempat kerja.
Ketika membuat saranan itu, Rosmah berkata ia bagi memberi peluang kepada ibu yang mempunyai kerjaya untuk memberi tumpuan terhadap tugas masing-masing apabila mengetahui dan yakin anak-anak mereka dijaga dengan baik.
“Bakti sering menyuarakan isu mengenai penyediaan taska di tempat kerja. Saya faham isu ini kerana saya sendiri dulu pernah jadi ibu yang bekerja.
Sebagai ibu, kita sering risau dengan keadaan anak terutama apabila anak tak sihat, jadi kalau ada taska di tempat kerja, ibu-ibu boleh lebih fokus dan dapat bekerja dengan lebih tenang,” katanya selepas mendengar ceramah Maal Hijrah anjuran Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) sempena Awal Muharam 1439 Hijrah di Bangunan Bakti Siti Hasmah, di sini.
Rosmah yang juga Yang Dipertua Bakti berkata beliau pernah menyuarakan perkara itu kepada suaminya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut bersetuju dengan saranan itu berikutan golongan wanita banyak menyumbang kepada ekonomi negara.
“Sehubungan itu, penting untuk menyediakan suasana kerja yang tenang, mereka boleh beri sepenuh perhatian kepada kerja namun (pada masa yang sama) boleh jenguk anak-anak.
Kami di Bakti memang memperjuangkan perkara-perkara yang memberi kehidupan lebih baik untuk rakyat,” kata Rosmah.
Berdasarkan statistik sehingga April 2016 oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sebanyak 170 buah Taska telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat membabitkan 136 taska di pejabat kerajaan dan 34 di syarikat swasta – jumlah yang dianggap masih rendah.
Sementara itu, ceramah Maal Hijrah berkenaan turut dihadiri anggota-anggota Bakti, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Persatuan Keluarga Polis (Perkep) dan Badan Kebajikan Angkatan Tentera (Bakat) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).
Ceramah bertajuk Kemanakah Arah Wanitaku’ disampaikan oleh Pensyarah Akademik Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Asmak Husin. – BERNAMA

