IPOH – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad menegaskan pihaknya terbuka menerima kritikan namun ia harus dibatasi dengan adab.
Justeru beliau menyifatkan, perumpamaan ‘monyet’ yang diberikan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang terhadap dirinya adalah melampau dan biadab kerana menggunakan perkataan tidak bertamadun.
Sehubungan itu, Dzulkifli mahu rakyat di negara ini untuk menilai sendiri adab bicara pemimpin veteran DAP tersebut yang jauh menyimpang daripada norma masyarakat Malaysia sendiri.
“Saya hendak rakyat Malaysia menilai Kit Siang dengan perkataan yang digunakan itu (dengan membuat perumpaaan sebagai monyet). Nilailah adab bicara Kit Siang tersebut.
“Adakah itu budaya Malaysia? Biar rakyat menilainya. Kita terbuka untuk menerima kritikan tetapi jangan melampau dan biadab. Kita ada adab. Kita rakyat Malaysia yang beradab.
“Perkataan yang digunakan itu adalah perkataan yang tidak bertamadun. Jadi, biar rakyat Malaysia menilai, itukah imej seorang pemimpin?” soal Dzulkifli.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program perasmian Mural Pencegahan Rasuah yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Majlis berlangsung di Bangunan SPRM Perak sempena Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar ‘17) di sini semalam. Dzulkifli mengulas kenyataan Kit Siang yang membidasnya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kit Siang dalam kenyataan media mendakwa, Dzulkifli harus menyedari bahawa jika beliau bertindak seperti monyet yang ada mata tetapi tidak melihat, ada telinga tetapi tidak mendengar dan mulut tetapi tidak berbicara.
Tokoh pembangkang itu merujuk kes 1MDB, dan menyifatkan Dzulkifli akan menjadikan SPRM sebagai agensi anti-rasuah kleptokratik pertama di dunia. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

