SINGAPURA – Mercy Relief, agensi bantuan bencana yang terkemuka di Singapura, telah menghantar satu pasukan tiga anggota untuk menjalankan pengagihan bantuan di Bangladesh, yang menyaksikan lebih 436,000 pelarian Rohingya berlindung di khemah penempatan sementara.
Komuniti yang terjejas itu berpindah selepas lari untuk menyelamatkan diri daripada krisis kemanusiaan di Wilayah Rakhine di Myanmar.
“Kami telah memantau dengan teliti situasi di Rakhine dan kami terkejut dengan kehilangan nyawa dan perpindahan beribu-ribu pelarian. Majoriti pelarian yang baru tiba ialah kanak-kanak, wanita dan orang tua,” kata Pengarah Eksekutif Mercy Relief, Zhang Tingjun dalam satu kenyataan di sini.
“Keperluan asas untuk kehidupan perlu diberi perhatian, keselamatan kumpulan-kumpulan yang mudah terjejas di khemah-khemah penempatan yang sesak ialah satu lagi isu kritikal yang akan dikaji,” kata Zhang yang akan menjadi sebahagian daripada pasukan menuju ke Bangladesh.
Berbekalkan bantuan kemanusiaan bernilai S$100,000 (S$1=RM3.10) yang dijanjikan, pasukan tersebut akan mula mengagihkan bekalan kritikal dan menjalankan penilaian mengenai keperluan, kata kenyataan itu.
Semasa operasi bantuan, Mercy Relief berkata pasukan tersebut akan mengedarkan barang-barang seperti kit perlindungan dan lampu solar dengan kerjasama rakan-rakan dari Singapura, billionBricks dan Solight Asia.
Barangan lain yang segera diperlukan termasuk selimut dan kit kesihatan untuk memenuhi keperluan kebersihan wanita, kata agensi itu.
Mercy Relief berkata ia akan melancarkan rayuan untuk mengumpul dana di Singapura.
Orang ramai juga boleh menghulurkan sumbangan melalui lima saluran iaitu Kad Kredit melalui laman web Mercy Relief di: www.mercyrelief.org; cek palang kepada “Mercy Relief Limited”; Sumbangan wang tunai di Blk 160, Lorong 1 Toa Payoh, #01-1568; pemindahan dana ke Akaun Semasa Mercy Relief DBS 054-900742-0; dan Crowdfund melalui Giving.sg. – BERNAMA