TAIPING – Dua tokan dadah adalah antara 22 orang yang ditahan dalam Ops Perdana di Kawasan Terong dekat sini, hari ini.
Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Larut, Matang dan Selama, Suhaime Yang berkata dua tokan dadah itu masing berumur 37 dan 28 ditahan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Matang Merbau, Sungai Tinggi hasil maklumat dan risikan sejak Mei lalu.
Suhaime berkata kedua-duanya ditahan dalam sebuah kereta Proton Waja ketika mahu mengedar dadah kepada penagih di kawasan berkenaan.
Katanya pemeriksaan ke atas kedua-dua tokan menemukan lima plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 45.99 gram dan syabu seberat 15.18 gram yang semuanya dianggar bernilai RM7,000 serta wang tunai RM450.
“Kedua-dua tokan itu ditahan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di pejabat AADK di sini, hari ini.
Sementara itu, 20 lagi penagih yang ditahan berumur 19 hingga 57 tahun kini direman dua minggu mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983 di Pusat Tahanan Reman di Batu Kurau.
Menurutnya operasi yang bermula 5 pagi tadi dan tamat pada 12 tengah hari membabitkan 33 pegawai AADK serta lima anggota Rela bertujuan membanteras penagih dadah.
Katanya sejak awal tahun ini, pihaknya menahan 170 penagih di daerah ini. – BERNAMA

