BANGKOK – Timbalan pemimpin junta Thailand menuduh tiga anggota polis membantu bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra melarikan diri bulan lalu, tindakan yang mengejutkan negara itu.
Yingluck yang kerajaannya ditumbangkan berikutan rampasan kuasa tentera pada 2014, tidak dilihat sejak 25 Ogos apabila beliau gagal hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan perbicaraan kecuaiannya.
Junta Thailand berkata, ia tidak sedar Yingluck merancang melarikan diri, sesuatu yang didapati sukar dipercayai rakyat negara berkenaan kerana pemantauan 24 jam ke atasnya.
Kaitan: Keberadaan Bekas PM Thailand Masih Misteri
Baca: PM Thailand Nafi Bantu Yingluck Larikan Diri
Yingluck sendiri kerap merungut mengenai tindakan pemantauan itu.
Penganalisis berkata, bekas Perdana Menteri itu yang berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun mungkin mengadakan perjanjian dengan junta untuk melarikan diri.
Namun tentera menafikan dakwaan itu dan kini menuding jari ke arah polis.
Pihak berkuasa menyiasat tiga anggota polis minggu ini selepas merampas kereta yang didakwa digunakan untuk membawa Yingluck ke sempadan Kemboja sebelum dipercayai melarikan diri ke negara ketiga.
“Mereka berkata menerima arahan membantu beliau melarikan diri,” kata timbalan pemimpin junta itu, Prawit Wongsuwon mengenai pegawai polis berkenaan semalam.
Prawit enggan memperincikan siapa mendalangi plot itu.
“Saya tidak akan memberitahu media tetapi individu yang mengarahkannya berada di Thailand,” katanya sambil menambah, Yingluck mungkin tidak menyeberangi ke Kemboja menerusi pemeriksaan biasa. – AFP/BH Online

