KUALA LUMPUR – Satu persidangan bagi menyatukan strategi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari rantau ASEAN dan antarabangsa dalam isu penindasan terhadap etnik Rohingya akan diadakan pada 2 dan 3 Okt di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Kuala Lumpur.
Persidangan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Majlis Belia Malaysia dan IYC itu akan merangka strategi pelan bertindak bagi menangani isu etnik Rohingya yang ditindas kerajaan Myanmar.
Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid berkata persidangan itu akan melibatkan 100 NGO pelbagai bidang dalam negara, 20 NGO serantau serta wakil-wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majjis Belia Asia (AYC) dan ASEAN.
“Agenda sidang itu meliputi kemas kini maklumat dan perkembangan terkini di Arakan, Myanmar dan Bangladesh, analisis krisis, perkongsian pengalaman NGO kemanusiaan dan advokasi isu itu.
“Mereka akan membincangkan strategi tindakan seperti usaha melobi, misi kemanusiaan, mobilisasi massa, kempen media, tekanan antarabangsa serta tindakan undang-undang,” kata beliau dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata isu Rohingya adalah isu kemanusiaan yang telah berlarutan melebihi enam dekad dengan situasi terkini yang sangat parah dan meruncing sekali gus memerlukan tindakan bersungguh daripada masyarakat sivil.
Mohd Azmi berpendapat satu kerangka pelan bertindak serantau mampu dirumuskan melalui persidangan itu bagi mencapai usaha penyelesaian yang tuntas.
Antara yang penting, katanya, ialah usaha melobi tindakan konkrit dan segera daripada Majlis Keselamatan PBB, termasuk untuk mempersetujui bahawa tindakan Myanmar merupakan jenayah genosid sekali gus membolehkan tentera pengaman PBB memasuki Myanmar.
“Selain itu, sidang ini diharap dapat mendesak sekatan dan tekanan daripada pertubuhan ASEAN terhadap kerajaan Myanmar termasuk melucutkan keanggotaan negara itu daripada ASEAN,” tegasnya.
“Mereka juga mahu mengumpulkan suara semua 191 pemegang semasa Anugerah Nobel Keamanan untuk menarik balik pengurniaan anugerah berprestij itu daripada pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi.
Justeru, beliau berharap sinergi secara bersepadu antara NGO pelbagai negara dapat menyumbang kepada proses penyelesaian isu penindasan terhadap etnik minoriti Myanmar.
Menghurai situasi terkini di Arakan Myanmar, Mohd Azmi yang telah mengunjungi kem-kem penempatan sementara pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh bulan lepas, berkata kesan operasi ketenteraan Myanmar terhadap etnik Rohingya sejak 25 Ogos lalu sangat parah.
“Kemusnahan perkampungan telah memaksa lebih 500,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh, malah laporan tidak rasmi mendapati lebih 30,000 orang awam etnik itu terkorban,” katanya.
Dalam tempoh kurang sebulan itu juga, tambah beliau, kira-kira 20,000 pelarian terpaksa menyeberang Sungai Naf untuk menyelamatkan diri ke Bangladesh, tetapi ratusan nyawa terutama kanak-kanak mati dalam sungai itu akibat letih, sakit dan kebuluran. – BERNAMA