LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan merampas barang seludup bernilai RM595,363 dari Mac hingga September tahun ini.
Ketua APMM Labuan Kapt Che Adnan Md Isa berkata barang seludup itu terdiri daripada pelbagai jenis minuman keras, yang merupakan rampasan terbesar dan bernilai RM268,339 pada 9 Julai, diikuti barang seludup bernilai RM250,342 pada 16 Sept, RM43,250 pada 5 Mei dan RM33,432 pada 22 Mac.
Che Adnan berkata penyeludupan merupakan masalah serius dan agensi itu meningkatkan rondaan dari semasa ke semasa bagi mencegahnya.
“Semua barang seludup itu disimpan dan dikawal APMM Labuan, sehinggalah mahkamah mengeluarkan perintah agar ia dimusnahkan, manakala kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya kepada Bernama hari ini.
Che Adnan berkata kejayaan APMM itu adalah hasil operasi rondaan scara berterusan dan kerjasama orang ramai bagi mengekang kegiatan penyeludupan. – BERNAMA