SHAH ALAM – Menyedari betapa pentingnya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenayah seksual kanak-kanak, Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih) mengambil inisiatif menganjurkan Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak pada Khamis depan di Intekma Resort & Convention Centre di sini.
Yang Dipertuanya Puan Seri Prof Aishah Salleh berkata seminar itu juga mempunyai objektif untuk berkongsi cara melindungi kanak-kanak daripada ancaman penjenayah dan mendapatkan komitmen semua pihak dalam usaha mencegah serta membasmi jenayah seksual kanak-kanak selain menyediakan perkhidmatan sokongan.
“Kasih selaku badan amal yang disertai isteri-isteri wakil rakyat Barisan Nasional dan ketua bahagian UMNO di Selangor memandang berat isu ini, tambahan pula baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes mahkamah membabitkan seorang bapa yang hadapi 623 pertuduhan jenayah seksual terhadap anaknya.
“Justeru, kami terpanggil untuk anjurkan seminar ini di peringkat Selangor untuk sama-sama berkongsi maklumat dan pandangan bagi memastikan kes seperti ini tidak berulang. Kita tidak mahu jenayah seksual seperti ini memberi kesan kepada anak-anak kita bila mereka dewasa kelak,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Seminar sehari bertemakan ‘Hentikan!!’ itu akan dirasmikan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor.
Mengulas lanjut, Aishah yang juga isteri Noh, berkata antara fokus seminar itu adalah isu dan cabaran terhadap isu semasa, “sexual grooming” dan memahami minda serta mengenali corak tingkah laku pesalah seksual kanak-kanak.
Kata beliau, pihaknya menyasarkan 500 peserta dalam kalangan pembuat dasar, pegawai kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, ahli-ahli akademik, para pendidik, ibu bapa serta pengusaha pusat jagaan kanak-kanak menyertai seminar berkenaan.
Menurutnya lagi antara yang dijadual menyampaikan ceramah pada seminar itu ialah Pengarah Bahagian Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Arfan Sulaiman; Pakar Pediatrik Hospital Sungai Buloh Dr Zahilah Filzah dan Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia Datuk Noor Aziah Mohd Awal.
“Di akhir seminar, kita akan keluarkan resolusi hasil maklumat serta pengalaman yang dikumpul sepanjang seminar ini dan akan disampaikan kepada pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk tindakan lanjut,” katanya menambah penyertaan seminar itu adalah percuma. – BERNAMA