‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’.
Perkhabaran tentang kehilangan pesawat milik Air Asia QZ8501 dari Indonesia yang sedang dalam perjalanan dari Surabaya menuju Singapura menjadi satu tamparan hebat buat seluruh masyarakat dunia.
Rasa simpati turut dikongsi bersama rakyat Malaysia yang masih belum reda meratapi kehilangan pesawat MAS MH370 yang belum dijumpai setelah hilang pada 8 Mac lalu selain tragedi pesawat MAS MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai.
Pastinya, perasaan hiba yang menyelubungi ahli keluarga dan sahabat handai para penumpang QZ8501 turut sama dirasai oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Tony Fernandes.
Melalui laman mikro Twitter rasminya, Tony menzahirkan rasa terkejut dengan berita tersebut, namun beliau sempat membuat ucapan penghargaan kepada rakan syarikat penerbangan lain yang memberi sokongan moral kepadanya.
“Saya sangat menghargai sokongan luar biasa yang diterima dari syarikat-syarikat penerbangan lain. Ini merupakan mimpi terburuk saya. Tetapi, ia tidak akan berhenti.”
[BACA INI: Tony Fernandes Mohon Terus Kuat Hadapi Kehilangan Pesawat]
Bukan itu sahaja, Tony juga memuat naik pesanan kata-kata semangat terhadap kakitangan Air Asia dan mendorong mereka untuk terus memberikan yang terbaik buat pelanggan.
Ketika ini, Tony berada di Surabaya bagi memantau sendiri operasi mencari dan menyelamat pesawat tersebut yang memasuki hari kedua. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR
Komen Tan Sri Tony Fernandes Berkenaan Kerugian MAS
https://www.youtube.com/watch?v=7bOkRoj389w


