KOTA BAHARU – Petugas kesihatan akan ditempat di semua pusat pemindahan sementara di sembilan jajahan yang terjejas banjir di Kelantan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata terdapat hampir 200 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri ini yang amat memerlukan petugas kesihatan bagi membantu mangsa banjir, yang kini dianggarkan mencecah 100,000 orang.
“Petugas kesihatan ini sangat penting untuk berada di pusat berkenaan yang berhadapan masalah kesihatan, khususnya di sesetengah tempat yang terputus makanan dan air bersih,” katanya kepada pemberita di Pusat Media Bencana Banjir di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dan timbalan pengerusi jawatankuasa itu Datuk Makhtar Mustapha.
Mustapa berkata perkara itu telah dibincang dengan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher.
Menurut Mustapa, sehingga kini petugas kesihatan masih belum ditempatkan di pusat-pusat pemindahan kerana pelbagai kekangan termasuk dari segi logistik.
Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata jawatankuasa itu juga berharap isu kekurangan bekalan makanan dan air bersih akan dapat diatasi di beberapa kawasan yang masih terputus hubungan jalan darat seperti Tanah Merah, Tumpat dan Rantau Panjang.
“Hari ini kita nak tahu jalan mana yang boleh dilalui dan kita akan menggunakan lori selain perkhidmatan helikopter (untuk menghantar bekalan makanan) walaupun guna helikopter ini kuantiti barangan yang boleh dibawa adalah kecil,” katanya.
Mengulas keadaan banjir di negeri ini, Mustapa menyifatkan bencana kali ini lebih buruk berbanding banjir 1967, dengan ribuan rumah dan harta benda musnah.
Lebih memburukkan keadaan apabila sistem komunikasi terputus sehingga menyukarkan banyak pihak untuk mendapatkan maklumat sebenar di lokasi banjir, selain gangguan bekalan elektrik. – BERNAMA

