HAVANA – Seramai 700,000 penduduk di pantai timur laut Cuba dipindahkan berikutan taufan Irma dijangka melanda negara itu, kata pihak berkuasa semalam.
Lewat petang semalam, taufan kategori lima itu bergerak melepasi pulau Hispaniola, Haiti, Republik Dominika, Kepulauan Turks dan Caicos.
“Ia kemudian dijangka bergerak ke pantai utara Cuba dan Bahamas,” menurut kenyataan perkhidmatan kaji cuaca Cuba.
Kelajuan maksimum angin taufan Irma kekal pada 280 kilometer sejam dan berisiko tinggi menyebabkan berlakunya puting-beliung tropika.
Ia juga disusuli hujan lebat di Guantanamo dan Holguin di wilayah timur Cuba pada sebelah malam bersama angin mencapai ketinggian enam hingga lapan meter.
Lebih 10,000 pelancong di pulau berkenaan turut dipindahkan atau dihantar pulang.
Sebelum ini, taufan Irma yang melanda Caribbean mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh, kerosakan harta benda, rumah dan infrastruktur lain di Antigua, Barbuda, Puerto Rico, St. Martin dan pantai utara Republik Dominika.
Selepas membadai utara Cuba, Irma dijangka bergerak ke Florida. – BERNAMA