KUALA LUMPUR – Pembangunan teknologi kewangan (fintech) Malaysia adalah kukuh berbanding negara ASEAN lain, kata Ketua Pegawai Fintech CIMB Group Holdings Bhd, Olivier Crespin.
Beliau berkata, lokasi strategik negara ini membolehkan Malaysia mencapai pasaran ASEAN yang mempunyai jumlah penduduk 650 juta sekali gus memberi peluang luas kepada industri fintech tempatan.
“Jika dibandingkan Malaysia dengan Singapura, Malaysia menerima jumlah pelaburan fintech lebih tinggi, dan ia agak berhasil,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Inovasi Fintech 2017 di sini, hari ini.
Dari persektif pihak pengawalseliaan, beliau berkata, Malaysia banyak berusaha ke arah pembangunan perkhidmatan fintech, termasuk mewujudkan Sanbox, di samping pelaksanaan Antaramuka Pengaturcaraan Aplikasi (API) dan proses e-Kenali Pelanggan Anda (e-KYC) telah meletakkan asas untuk memberi manfaat kepada pelanggan.
Crespin berkata, Sandbox merupakan persekitaran pengujian yang mengasingkan perubahan kod tidak teruji dan pengujikajian langsung daripada persekitaran pengeluaran atau repositori dalam konteks pembangunan perisian termasuk pembangunan web dan kawalan penyemakan.
Beliau berkata, fintech akan membuka platform bagi kerjasama antara bank dan mempertingkatkan pengalaman pelanggan, kecekapan operasi dan peluang perniagaan.
“Ia akan membantu bank mencapai pasaran lebih besar, menyediakan tawaran yang berbeza, menjadi lebih berpaksikan pelanggan, serta menambah nilai untuk pelanggannya,” katanya.
Crespin berkata, malah bank juga dapat berfungsi bersama lebih banyak rakan kongsi termasuk bank-bank lain, dan bersepadu kepada ekosistem, menambah kepantasan pembangunan, menerima pakai pemikiran baharu serta pintar pengawalseliaan.
Beliau berkata, Malaysia boleh menyediakan perkhidmatan lebih luas kepada pelanggan memandangkan pemegang akaun semasa dan akaun simpanan semakin meningkat, di samping menembusi 90 peratus jumlah penduduk.
Platform fintech merupakan kaedah besar-besaran untuk menambah baik kehidupan memandangkan ia akan menggalakkan pertambahan pengguna tidak diberi kebenaran digital dan aplikasi keselamatan lain.
“Ia juga boleh menjadi sesuatu yang berkaitan dengan kehidupan seharian seperti menempah percutian, menaiki pengangkutan awam, persediaan persaraan dan membiayai anak-anak ke universiti,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Bersekutu IDC Financial Insights, Michael Araneta berkata tumpuan utama syarikat fintech Malaysia, pada masa depan, aadalah berkembang melangkaui negara.
“2018 akan menjadi tahun penting khusus untuk fintech Asia/Pasifik berkembang luas – seperti perkembangan Alipay dan Grab – oleh itu syarikat Malaysia akan bersaing bersungguh-sungguh dengan pihak dari pasaran lain. Mereka semua perlu mencapai skala dan sentiasa wujud secepat yang mungkin,” katanya. – BERNAMA