RASANYA sudah lama tidak dengar lagu baharu daripada Amira Othman kan? Sejak kebelakangan ini asyik dengar lagu adiknya sahaja yang diputarkan di corong-corong radio.
Namun pelontar suara lagu Hati-Hati, Amira Othman mengakui dia sebenarnya cerewet dalam pemilihan lagu. Disebabkan itu, masa yang lama diperuntukkan untuk dia keluar dengan single terbaharu.
“Bagi single keempat ini, saya akui mengambil masa yang agak lama untuk muncul dengan lagu baharu.
“Bukan apa, saya sangat cerewat sehingga sukar berjumpa dengan lagu yang betul-betul memikat hati,” katanya dipetik laporan Astro Gempak.

Berita baik untuk peminatnya, Amira akan mengeluarkan single terbaru hujung tahun ini. Single keempat yang akan dikeluarkan ini merupakan hasil karya daripada penyanyi dan komposer, Hael husaini.
Menurut kakak kepada Irfan Haris ini, dia sangat mementingkan kualiti kerana baginya lagu yang baik akan sentiasa diingati pendengar.
“Pada saya, lagu yang berkualiti adalah paling penting untuk seorang penyanyi kerana saya mahu lagu yang betul-betul menangkap jiwa pendengar.
“Alhamdulilah, saya jumpa dengan lagu dan melodi yang saya nak iaitu hasil karya Hael Husaini,” ujarnya.

Karya yang dihasilkan oleh Hael itu dipilih kerana baginya Hael amat memahami kehendaknya dalam nyanyian. Hael juga merupakan komposer untuk single Hati-Hati yang berjaya menaikkan namanya dalam industri.
“Sebenarnya Hael pernah cipta lagu saya sebelum ini dan kini dia berjaya muncul dengan sebuah lagu yang memenuhi citarasa saya,” tambahnya.
Dengar-dengarnya single baharunya ini berbeza genre dengan lagu-lagunya sebelum ini tetapi masih mempunyai sedikit ‘vibes‘ lagu Hati-Hati.
Namun begitu, diharapkan peminatnya bersabar kerana liriknya masih dalam proses pembikinan dan belum disiapkan lagi. Nanti kalau dah launch single terbarunya itu jangan lupa dengar pula. – MYNEWSHUB.CC/Aisyah Karim