PADANG BESAR – Sepasukan anggota Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dari Chuping merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish selepas ditinggalkan di kawasan tempat letak kereta di Masjid Padang Lati, Beseri, pagi tadi.
Komander AKSEM Perlis, DSP Syed Basri Syed Ali dalam kenyataan hari ini berkata, hasil pemeriksaan nombor chasis pada kenderaan terbabit mendapati tiada rekod dalam sistem serta siasatan mendapati kenderaan itu dipercayai mengelak daripada dikenakan cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Menurut Syed Basri, hasil rampasan berjumlah RM70,000 dan kenderaan terbabit dibawa ke Aksem Chuping untuk tindakan dan seterusnya diserahkan kepada JKDM Perlis untuk siasatan lanjut.
Syed Basri menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang belum lulus kastam.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai duti atau cukai yang terlibat dan tidak melebihi 20 kali ganda daripada nilai duti atau cukai terlibat atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali, katanya. – BERNAMA