PUTRAJAYA – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) perlu menggerakkan agenda inovasi dalam perkhidmatan pendidikan negara selaras kepentingan yang digaris dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).
Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata warga NUTP tidak boleh berpuas hati dan berdiam diri berhadapan persekitaran dunia pendidikan yang serba kompetitif.
“Dalam erti kata lain, individu mahupun organisasi dan negara yang tidak meletakkan inovasi sebagai agenda utama, akan ketinggalan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP Ke-21 di sini hari ini.
Hadir sama Presiden NUTP Kamarozaman Abd Razak.
Mahdzir berkata untuk memastikan aspek inovasi dalam organisasi dapat bergerak ke hadapan, antara perkara penting yang memberi kesan utama ialah ekosistem inovasi yang wujud dan menjadi keutamaan NUTP sendiri.
Dalam RMK11, katanya, NUTP sewajarnya mencari pendekatan baharu untuk menangani kelemahan ekosistem inovasi, memperbanyak serta meningkatkan penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan dan inovasi.
Katanya inovasi boleh dibuat dalam bentuk produk, perkhidmatan, proses atau teknologi.
“Inovasi hendaklah mempunyai nilai tambah, berupaya meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan seiring hasrat kerajaan untuk menjadikan bidang itu sesuatu yang holistik,” katanya. – BERNAMA