PUTRAJAYA – Atlet ski air termuda negara, Adam Yoong Hanifah, 9 menyinar di dalam penampilan sulung bersama abangnya Aiden, 11 dalam acara trick ski air lelaki di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang berlangsung di Kompleks Sukan Air, Presint 6 di sini hari ini.
Dalam pusingan awal, Adam mempamerkan aksi yang hebat dengan merekodkan mata keseluruhan pada 3,550 tanpa terjatuh dalam dua trip sementara Aiden yang baharu pulih daripada demam mengumpul 3,900 mata.
Kakak mereka, Aaliyah, 14 melakukan tiga aksi pusingan 360 darjah menakjubkan dalam acara trick yang membolehkan beliau mengumpul 3,480 mata, yang tertinggi dalam kategori disertainya.
Pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 itu juga merekodkan jarak sepanjang 32.8m dalam kategori lompatan, diikuti Amir Rossi dari Indonesia dengan jarak 30.5m.
Muhammad Zahidi Putu dari Indonesia pula memecahkan rekod lompatannya sejauh 47.3m yang dicatatkan beliau sendiri dalam acara keseluruhan pada 26 Ogos lepas, yang mana pada hari ini beliau melakukan lompatan sejauh 49.2m dalam pusingan awal acara lompatan individu.
Rakan sepasukannya, Ade Hermana Kadir yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 berada di belakang beliau dengan jarak 43.6m.
Pertandingan bersambung esok dengan enam pingat emas menjadi rebutan atlet esok. – BERNAMA