SKUAD gimrama negara berjaya mengutip pingat emas pertama menerusi kategori berpasukan wanita selepas mengatasi cabaran Thailand dan Singapura.
Dalam aksi di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara petang Sabtu, trio tersebut diwakili oleh Amy Kwan, Izzah Amzan dan Koi Sie Yan.
Mereka bertiga mampu mengutip 153.10 mata, menewaskan Manatsanan Chaiteerapattarapong, Panjarat Prawatyotin serta Pornchanit Junthabud dari Thailand yang mengutip hanya 122.55 mata.
“Ya, kami hanya memberikan yang terbaik. Kami telah berlatih dengan gigih dan berjaya mempamerkan persembahan yang cemerlang,” ujar Amy.
“Kemenangan yang sangat bermakna buat saya kerana ini merupakan penampilan yang pertama di Sukan SEA,” tambah Izzah.
Bagi Sie Yan, dia tanpa berselindung menjelaskan amat lega kerana berjaya mengatasi tekanan apabila beraksi selaku tuan rumah.
“Kami menyedari bahawa terdapat tekanan beraksi sebagai tuan rumah. Tetapi kami berjaya menanganinya. Kami juga turut berjaya menangani masalah kecederaan dan kesihatan juga sekaligus memenangi pingat emas,” katanya.
Pingat gangsa menjadi milik Singapura yang diwakili oleh Edlyn Ho, Tong Kah Mun dan Avryl Tan Ying setelah mengutip 116.30 mata. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

