LANGKAWI – Pelayar negara, Ahmad Latif Khan yakin mampu menyumbang kilauan emas buat negara dalam aksi sulungnya melalui kategori Laser Radial Lelaki sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang berlangsung di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di sini.
Atlet berusia 22 tahun itu yang hari ini mencuri tumpuan apabila mendahului enam pelayar lain dalam kategori tersebut berkata, beliau mahu menunjukkan prestasi cemerlang sekali gus membantu mencapai sasaran lima pingat emas dalam acara pelayaran.
Malah katanya faktor angin turut tidak menganggu fokusnya untuk memburu emas walaupun kesemua perlumbaan dari hari pertama sehingga ke hari ini terpaksa ditunda ke sebelah petang disebabkan ketiadaan angin.
“Saya akan cuba buat yang terbaik dan mahu menunjukkan prestasi lebih cemerlang pada esok hari,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Setelah mengakhiri empat perlumbaan, Ahmad Latif berada di kedudukan teratas bagi kategori tersebut dengan lima mata penalti, manakala pelayar Singapura Bernie Chin Cheok Khoon berada di tempat kedua dengan sembilan mata penalti dan diikuti pelayar Thailand, Apiwat Sringam dengan 11 mata penalti. -BERNAMA