NILAI – Atlet berbasikal wanita negara Grace Phang berazam untuk menghadiahkan pingat kepada kontinjen negara dalam acara Omnium Wanita, yang akan berlangsung Ahad ini.
Grace, 32, berkata perlumbaan kali ini sendiri sangat mendebarkan kerana beraksi di laman sendiri dan sudah pastinya beliau yang bergandingan dengan seorang lagi pelumba trek endurance negara Ju Pha Som Net akan memastikan peluang untuk meraih pingat akan dapat direalisasikan.
Meskipun acara omnium wanita tidak disasarkan emas, namun wanita kelahiran Kuala Lumpur itu secara peribadinya berazam untuk meraih pingat emas dalam acara berkenaan.
“Saya akan cuba, bagi yang saya boleh dan yang terbaik kepada negara. Saya akan berikan 101 peratus. Saya rasa kami berpeluang untuk memenangi emas dalam acara omnium dan saya akan bekerja keras untk menjadikan emas satu realiti.” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan skuad berbasikal negara di Velodrom Nasional di sini.
Grace yang kini mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan untuk mewakili negara pada temasya Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) pertama kali mewakili negara ada pada edisi 2013 di Myanmar dalam acara Individu Ujian Masa (ITT) Wanita dan menamatkan saingan di tempat kelima.
Mengulas mengenai latihan hari ini, beliau berkata ia adalah bagi mengekalkan kecergasan dan corak latihan.
“Kalau kata berbaki sehari setengah lagi kita boleh tingkatkan prestasi kita, tak betul…setakat itu sahaja yang kita boleh. Sekarang untuk terus berlatih sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan seluruh rakyat Malaysia mendoakan dan terus memberikan sokongan padu kepada seluruh atlet negara.
Acara berbasikal trek akan membuka tirai pada Ahad dengan 13 pingat ditawarkan manakala esok akan berlangsung acara BMX dengan dua acara dipertandingkan iaitu kategori lelaki dan wanita.
Acara trek melibatkan acara seperti pecut (lelaki/wanita), keirin (lelaki/wanita), pecut berpasukan (lelaki/wanita), omnium (lelaki/wanita), 1km ujian masa lelaki, 500meter ujian masa wanita, kejar mengejar individu lelaki, kejar mengejar berpasukan lelaki dan scratch lelaki. – BERNAMA

