ALOR SETAR – Jasad ulama terkenal Syeikh Abdus Samad Al-Palembang yang terbunuh dalam peperangan Kedah-Siam pada tahun 1832 akan dibawa pulang untuk dikebumikan di sini.
Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata pada masa ini kubur ulama itu yang berusia 179 tahun terletak di kawasan kebun getah di Ban Trap, Chana di Songkhla, Thailand.
“Syeikh Abdus Samad terbunuh ketika berperang dengan tentera Siam. Selain pejuang, beliau juga pengarang agung yang diberi penghormatan menulis syair pada panji-panji perang yang dikatakan masih tersimpan di Muzium Negeri.
“Ulama itu di bawah pimpinan Tunku Muhammad Saad bersama 10,000 tentera berjaya menghalau tentera Siam di beberapa kawasan jajahan mereka sebelum mereka mara hingga ke Senggora (Songkhla).
“Namun Siam membuat serangan balas besar-besaran menyebabkan tentera Kedah kalah dan Syeikh Abdus Samad terbunuh dan dikuburkan di Songkhla ,” katanya kepada pemberita pada Program Bicara Muzium Perang Kedah-Siam (1821-1842) di Muzium Kota Kuala Kedah dekat sini hari ini.
Wan Shamsudin berkata terdapat maklumat mengatakan ada kegiatan khurafat di kubur ulama itu sehingga masyarakat di sekitar kampung itu tidak senang dengan perbuatan berkenaan.
“Penduduk tidak dapat terima perbuatan tidak bertanggungjawab itu, memandangkan kubur itu adalah milik salah seorang anak mufti Kedah, jadi mereka mahu dibawa pulang ke Kedah untuk dipelihara,” katanya.
Katanya, proses untuk membawa pulang jasad sedang dilakukan termasuk telah mengadakan mesyuarat bersama Anggota Lembaga Muzium Negeri dan pertemuan dengan bekas Mufti Kedah Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad sebelum ini.
“Kita akan berusaha mendapatkan perkenan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk dikebumikan di Makam Diraja Langgar, atau dikebumikan di kawasan tanah perkuburan yang sesuai di negeri ini,” katanya.
Selain itu, Wan Shamsudin berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Konsulat Malaysia di Songkhla untuk membincangkan perkara tersebut.
Terdahulu, seramai 150 peserta terdiri daripada kakitangan dari pelbagai jabatan dan pelajar sekolah mengikuti bual bicara berhubung sejarah peperangan Kedah-Siam itu. – BERNAMA