KECEWA sungguh kami melihat perbuatan terkutuk yang dilakukan kepada pelakon terkenal, Linda Rafar.
Rasanya peminat hiburan semua mengetahui ujian yang dialami selebriti terkenal itu apabila anak kandungnya yang telah meninggal dunia akibat menghidap kanser.
Perasaan kasih sayang seorang ibu ini telah digarapkan menerusi buku nukilan Linda Rafar khas buat arwah anaknya, Memen.
Namun, nampaknya ada pihak yang bukan sahaja tidak simpati, malah hanya menambahkan lara dalam hati dengan mengambil kesempatan mencetak rompak kisah mengenai arwah anaknya.
Buku hasil nukilannya itu dikatakan telah diciplak sesuka hati oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan dijual berdekatan pasaraya terkemuka di Johor Bahru.
Perkara ini diakui sendiri oleh Linda dalam laman Instagramnya dengan meluahkan kekecewaannya terhadap individu tersebut apabila dengan mudah mengaut keuntungan atas kesusahan yang menimpa anaknya.
Lagi-lagi sebenarnya hasil jualan buku tersebut dikatakan akan didermakan kepada golongan yang amat memerlukan.
Tergamak sungguh hati individu yang mengaut keuntungan dengan mencetak rompak dan menjual buku berjudul ‘Menunggumu Di Pintu Syurga’ ini.
Diharap individu tersebut menghentikanlah perbuatan tidak beretika seperti ini.
Untuk makluman anda, buku berjudul ‘Menunggumu Di Pintu Syurga’ ini menceritakan perjalanan hidup Allahyarham Memen.
Linda turut berkongsi kisah dari saat Memen dilahirkan, dibesarkan hingga disahkan menghidap kanser serta mendapatkan rawatan di hospital.- MYNEWSHUB.CC
VIDEO BERITA KEMATIAN ANAK LINDA RAFAR

