DUNIA meraikan hari ini dengan penuh takzim melahirkan penghargaan kepada pejuang dan aktivis kemanusiaan. Peranan aktivis penting bagi meletakkan nasib mangsa pelbagai krisis dunia mendapat perhatian tujuh bilion penduduk sejagat.
Hari kemanusiaan memberikan aspirasi kepada kita semua untuk peka dan prihatin, sekaligus meningkatkan kesedaran diri serta untuk merenung dan menghargai jasa para sukarelawan.
Ketika ini, 200 juta penduduk dunia berdepan pelbagai krisis dan disenaraikan sebagai mangsa konflik kemanusiaan. Lebih 65 juta penduduk dunia diambang kebuluran manakala 60 juta yang lain menjadi pelarian serta terdedah pada sindiket pemerdagangan manusia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Islamic Relief Malaysia (IRM), Zairulshahfuddin Zainal Abidin, usaha dan perjuangan aktivis kemanusiaan ialah berkhidmat pada mangsa krisis serta melaksanakan harapan penderma.
“Impian hakiki seorang petugas kemanusiaan itu adalah melaksanakan kepercayaan yang diberi oleh penderma secara telus dan amanah untuk kepentingan penerima manfaat,” kata Zairulshahfuddin.
IRM yang memiliki pelbagai komitmen program kemanusiaan di hampir di semua garisan krisis, antara NGO yang aktif melaksanakan pelbagai misi bantuan. Antara keutamaan IRM ialah program pendidikan, pembangunan insfrastruktur awam, bekalan air bersih, akses perubatan serta menyuarakan hak asasi mangsa krisis.

“Kemuncak kebahagiaan kami dikecapi apabila menyaksikan penerima manfaat itu merdeka dari belenggu kemiskinan dan mereka pula dapat mengupayakan asnaf lain di sekeliling mereka ke arah mewujudkan dunia yang prihatin.”
Menurut Zairulshahfuddin, IRM komited untuk terus memastikan mangsa tragedi perang, bencana alam dan kemiskinan terus dibela tanpa batas perbezaan agama, mahu pun skeptisme warna ras dan garis pemisah geografi.
Kepada aktivis kemanusiaan, moga Allah merahmati anda semua. Tanda manusia masih wujud di dunia ialah apabila peri kemanusiaan terus hidup! – MYNEWSHUB.CC

