TAWAU – Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) akan memberikan insentif tunai kepada dua atlet memanah Sabah yang adalah antara penyumbang emas kedua dan ketiga Malaysia dalam acara memanah berpasukan compound pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) hari ini.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata dua atlet itu adalah Fatin Nurfateha Mat Salleh dan Lee Kin Lip yang bertanding dalam acara memanah Compound berpasukan masing-masing untuk pasukan wanita dan lelaki Malaysia.
“MSNS menyediakan dua insentif iaitu bagi atlet Sabah yang berjaya meraih pingat dalam Sukan SEA itu sebagai menghargai kejayaan tersebut, selain insentif tunai ekoran mewakili negara dalam temasya sukan yang berprestij.
“Syabas kepada atlet berpasukan memanah compound negara khususnya kepada dua atlet memanah Sabah yang turut memainkan peranan bersama rakan pasukan untuk meraih emas tersebut,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini
Pasukan wanita Malaysia merangkul emas hari ini selepas menewaskan Vietnam, 253-252 dalam perlawanan mendebarkan di Padang Sintetik, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil di Kuala Lumpur dan pasukan lelaki negara kemudian menambah pingat emas selepas menewaskan Singapura 228-222.
Sementara itu Tawfiq yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Apas di sini berkata kemenangan pasukan memanah negara itu juga bakal menjadi pembakar semangat kepada atlet lain untuk berjuang mencapai kejayaan sekali gus memenuhi sasaran negara mengutip 111 emas dan menjadi juara keseluruhan temasya dwitahunan itu. – BERNAMA