SIASATAN SPRM masih berjalan, caj mahkamah belum berlaku. Namun kemuncak kesedihan mengenai Felda dapat dirasakan setiap orang yang menyintai sejarah bangsa.
Felda ditubuhkan Julai 1956 dan diaktifkan pada Julai 1958. Memiliki 23 ribu pekerja dengan keluasan tanah 9 ribu kilometer persegi. Majoriti ialah ladang sawit. Sebutlah apa saja mengenai Felda, ia hebat sebagai lambang migrasi ekonomi masyarakat tani Melayu.
Kini imej Felda tercalar teruk dengan isu Felda Investment Corp (FIC). Dua kes membabitkan pembelian hotel di Kuching, Sarawak dan hotel di Kensiston, London telah menjerumuskan Felda ke lubuk paling kotor.
Banyak angka kehilangan wang yang disebarkan. Ada analisis menyebut harga hotel di Kuching hanya RM60 juta dan FIC membelinya pada harga RM150 juta. Manakala harga hotel Kensiston hanya RM110 juta tetapi FIC membayarnya pada harga RM330 juta.
Fakta lain yang tersebar ialah ada pihak mengaut untung RM78 juta dalam tempoh semalaman dalam urus niaga hotel di Kensiston.
Begitulah kejamnya fakta yang tersebar mengenai manipulasi dan skandal dalam FIC.
SPRM akan terus membuat siasatan. Apakah akan terus ada tangkapan dan penahanan profil pelbagai saiz dan rupa, ia sukar dijangka. Samada kes FIC akan berjangkit pula ke FGV, satu lagi syarikat berkaitan saham Felda, hanya waktu yang menentukan.
Apa pun, FIC kini ibarat anak gadis Felda yang ditelanjangkan satu demi satu pakaiannya.
SPRM nampak serius dan sangat yakin dalam Ops FIC dengan menyoal siasat lebih 40 saksi. Belum ada suspek sahih dibawa ke pertuduhan jenayah. Namun, satu demi satu nama yang dikaitkan mula membina rangkaian forensik hala tuju siasatan.
Kalau benar sebaran angka bahawa Felda membayar lebihan harga pasaran RM90 juta bagi urus niaga hotel di Kuching dan lebihan harga RM220 juta untuk harga hotel di Kensiston, ia satu noda.
Ertinya sampai kiamat nanti skandal FIC akan menjadi luka pengkhianatan yang tidak akan pernah sembuh bagi orang Melayu. Namun, ia membuka mata mengenai perlunya reformasi korporat dalam pengurusan perniagaan berteraskan Melayu.
Kita nantikan episod penuh skandal FIC. Atau apakah akan ada seretan sampai ke FGV? Apa pun kita sudah merasakan betapa dalamnya luka akibat kerosakan dialami Felda. – MYNEWSHUB.CC

