BESUT – Tabung Haji (TH) mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan Arab Saudi dalam usahanya menangani kes jemaah haji yang terkandas ekoran tidak memperoleh visa, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Katanya, kes sedemikian pertama kali berlaku sejak 54 tahun Tabung Haji (TH) menguruskan jemaah haji, namun hasil hubungan baik antara kedua-dua negara, kes berkenaan dapat ditangani pada kadar minimum.
“TH sedang menanganinya dengan cara terbaik. Kita telah berjaya mengawal keadaan dan menguruskan perkara ini. Ia melibatkan visa yang diproses oleh Arab Saudi dan bukannya TH.
“Tetapi kita terpaksa mengambil tanggungjawab kerana ia melibatkan kos penginapan yang akan meningkatkan kos operasi haji tahun ini.
“Setakat ini, kita dapati setiap penerbangan itu akan ada yang tercicir namanya daripada senarai yang mendapat visa yang diproses Arab Saudi.. tetapi alhamdulillah kita dapati ia semakin baik dan kebanyakannya telah berangkat,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat empat penuntut yang juga ahli Mahasiswa Kelantan (HIMSAK) di Hospital Daerah Besut yang cedera ekoran terlibat dalam tragedi bot terbalik berhampiran Pulau Rhu, di sini, semalam.
Mengenai tragedi tersebut, beliau berharap siasatan segera dapat dilakukan sambil melahirkan rasa simpati kepada mereka yang terlibat kerana HIMSAK bernaung di bawah Perhubungan UMNO Malaysia.
Dalam kejadian tersebut, bot pelancong yang membawa 15 penumpang terdiri daripada penuntut beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) dan pegawai HIMSAK dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian ke Jeti Kuala Besut setelah menyertai program anjuran UMNO Kelantan.
Bot tersebut tiba-tiba terbalik hingga mengorbankan Norhasibah Husna Ibrahim, 21, yang merupakan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) manakala enam yang lain cedera. – BERNAMA

