KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat Perwaja Steel Sdn. Bhd. (PSSB) kerana tidak membayar caruman bulanan KWSP pekerja berjumlah RM9.17 juta.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Datuk Mohd. Naim Daruwish berkata, syarikat itu dikenakan tindakan pendakwaan dan saman sivil untuk Ogos 2013 hingga September 2014.
“KWSP telah menyiapkan siasatan ke atas PSSB Kemaman dan terdapat saman sivil yang masih belum selesai terhadap majikan dan pengarah syarikat di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk mendapatkan kembali tunggakan caruman.
“KWSP telah memaklumkan pengarah syarikat dengan sewajarnya mengenai tunggakan caruman oleh syarikat dalam usaha untuk mendapatkan semula tunggakan tersebut, termasuk menghalang mereka dari meninggalkan negara mengikut peruntukan Seksyen 39, Akta KWSP 1991,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd. Naim berkata, di bawah Akta KWSP 1991, semua majikan perlu membayar caruman bulanan bagi pihak pekerja pada atau sebelum setiap 15 haribulan bulan berikutnya.
Menurutnya, KWSP akan mengkreditkan tunggakan caruman ke dalam akaun ahli selepas tunggakan itu telah dibayar sepenuhnya.
“KWSP akan terus mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang tidak mencarum kerana simpanan KWSP adalah sumber pendapatan persaraan utama untuk pekerja,” katanya.
Media semalam melaporkan lebih 200 bekas kakitangan PSSB membuat laporan polis berikutan majikan mereka itu gagal mencarum ke dalam akaun KWSP, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) meskipun gaji dipotong setiap bulan.
Wakil kumpulan itu yang juga bekas Pengurus Kanan Operasi Pengeluaran PSSB, Abdul Hadi Muhammad dipetik mendakwa, syarikat itu tidak mencarum potongan gaji mereka kepada KWSP, Socso, LHDN selain Koperasi Perwaja dan Bank Rakyat.
Jelasnya, tindakan itu menyebabkan 937 orang bekas pekerja PSSB mengalami masalah, malah ada yang menerima saman daripada Bank Rakyat kerana kegagalan membayar balik pinjaman.

