KUALA LUMPUR – Kumpulan Maybank mengumumkan tawaran moratorium berkuatkuasa serta merta kepada mangsa banjir di negeri-negeri terlibat dengan bencana itu.
Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Hamirullah Boorhan berkata, moratorium itu melibatkan penangguhan bayaran ansuran pinjaman selama enam bulan dan pengecualian caj-caj tertentu mengikut kes setiap pelanggan.
“Maybank memahami masalah yang dihadapi mangsa-mangsa banjir dan mereka sudah pasti memerlukan bantuan ketika berdepan dengan musim banjir ini.
“Sejajar dengan misi Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan kami telah memperkenalkan program bantuan ini untuk mengurangkan beban yang ditanggung pelanggan,†katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Hamirullah berkata, Maybank akan menyediakan bantuan mengikut kes setiap pelanggan bagi kemudahan pinjaman konvensional dan Islam.
Jelasnya, bantuan itu termasuk pengecualian caj bagi pelanggan yang mahu menggantikan kad juruwang automatik (ATM), buku cek dan buku bank yang musnah dalam banjir.
Malah, katanya, pelanggan kad kredit yang terlibat juga layak untuk mendapat pelepasan caj lewat membuat bayaran, caj kewangan serta pemohonan untuk menaikkan had kredit ketika bencana.
Kata beliau, Etiqa iaitu cabang insurans Kumpulan pula akan mempercepatkan proses tuntutan bagi pelanggan-pelanggan yang telah melanggan polisi insurans banjir.
“Pelanggan boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan Kumpulan di 1-300-88-6688 atau menghubungi cawangan bank yang berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

