KOTA BHARU – Enam pekerja asing warga Indonesia dikesan menggunakan E-Kad yang dipercayai diperoleh secara penipuan dalam satu serbuan di sebuah kilang kayu getah di Batu Karang, Pasir Mas hari ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan Wan Mohamed Saupee Wan Yusof berkata ia merupakan kes pertama yang dikesan di negara ini selepas kad tersebut diperkenalkan oleh kerajaan beberapa bulan lepas.
“Hasil pemeriksaan di kilang tersebut, kita mendapati enam daripada 17 warga asing mempunyai E-Kad serta pasport sekali gus mencetuskan kehairanan kepada pasukan penguatkuasa kerana warga asing berkenaan mempunyai kedua-dua dokumen tersebut.
Saya percaya mereka memberi keterangan palsu ketika memohon kedua-dua dokumen terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua warga asing yang ditahan itu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun akan menjalani proses dokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Asing di Tanah Merah.
E-Kad merupakan pengesahan pengambilan pekerja dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh majikan buat sementara waktu. Majikan boleh melalui proses mengambil mereka bekerja secara sah dengan mendapatkan dokumen perjalanan dan permit yang diperlukan untuk pekerja mereka. – BERNAMA