ADA tiga perkara yang orang Melayu selalu lupa dan sengaja abaikan, apabila melangkah ke tempat kerja.
Orang Melayu sekali pun bergelar penjawat profesional di tempat kerja – secara sengaja mengabaikan fakta, di mata kaum lain – orang terdapat anggapan:
1. Keputusan mesyuarat lambat dilaksanakan.
2. Persefahaman lisan dalam mesyuarat tidak dianggap keputusan.
3. Kalau pun keputusan, selain lewat dilaksanakan – pelaksanaan juga tidak memenuhi persefahaman perjanjian.
Apa yang menjadikan orang Melayu berjawatan profesional tidak dihormati? Atau pun dinilai sangat amatur? Atau lebih buruk dianggap ketipisan komitmen dalam melaksanakan tanggungjawab?
Isunya fokus dan intergriti dalam melaksanakan tanggungjawab profesional
Orang Melayu kerap melangkah ke tempat kerja dengan meninggalkan akal dan hati di rumah.
Justeru, tanpa akal maka ketajaman fikiran untuk mengenal pasti masalah, mencari jalan penyelesaian serta melaksanakan tindakan pemulihan sentiasa keterbelakang.
Tanpa hati pula, menjadikan jiwa profesional orang Melayu untuk bertindak secara tanggungjawab selalunya kurang motivasi.
Justeru, tanpa akal dah hati – apakah yang dibawa orang Melayu ke pejabat?
Orang Melayu selalunya setakat bawa otak saja pergi pejabat. Fungsi otak pula pastinya sangat terbatas kalau akal tertinggal di rumah. Orang Melayu bawa emosi ke pejabat. Emosi yang subjudis dan sensasi akan membunuh kekayaan hati yang berperanan memelihara jiwa besar.
Otak tanpa akal hanya akan dipenuhi dengan persepsi negatif. Otak jenis ini hanya refleksif pada sikap sepele (kurang endah) terhadap tanggungjawab kognitif dan proaktif. Otak jenis ini biasanya berserabut dengan kritikan-kritikan kritis terhadap pekerjaan. Malah, lebih teruk kritikan terhadap pejabatnya sendiri.
Hati tanpa jiwa hanya akan dipenuhi emosi. Lebih teruk emosi yang dipengaruhi otak yang negatif. Hati jenis ini akan menghantar isyarat negatif ke otak. Apalagi kalau emosi dipenuhi dengan protes dan pandangan buruk terhadap tempat bekerja.
Orang Melayu membawa agama ke surau. Meninggalkan prinsip agama di sejadah apabila bekerja. Justeru, sedikit pun tidak takut sekiranya profesional Melayu kerap bekerja dengan otak dan emosi yang mengkritik mencela tempat kerja sendiri. Atau mencela rakan kerja.
Akal orang Melayu sentiasa segar. Sebab akalnya ditinggal di rumah dalam peti sejuk. Walaupun segar, akal ini tidak berguna kepada profesional Melayu kerana ia ditinggalkan di rumah.
Hati orang Melayu murni. Tapi sebagai profesional, kemurnian ini tidak berguna kerana ia ditinggalkan di atas sejadah.
Secara generalnya, Melayu masih kekal sebagai bangsa yang berserabut, terutama dalam konteks peranan akal dan hati dalam mencerna profesionalisme di tempat kerja.
Lebih kompleks bagi profesional Melayu ialah otak yang sebal dan emosi yang serabut digunakan di pejabat untuk mengkritik dan mencela tempat mereka bekerja.
Masa dihabiskan untuk senaman otak dan emosi dengan menyerang dan memperlekeh majikan sendiri.
Oh Melayu! Silalah bawa akal yang sihat dan hati yang murni ketika bekerja sebagai profesional.

