ORANG kata ajal, maut, rezeki mahupun jodoh terletak di tangan Tuhan. Artis juga tidak terlepas dari sebarang dugaan hidup. Begitu juga dengan pelakon cantik, Atikah Suhaime.
Pelakon kelahiran Singapura ini mengakui terpaksa pulang ke Singapura selepas enam bulan tidak mendapat tawaran berlakon dari mana-mana produksi di Malaysia.
BACA: Atikah Suhaime Tarik Diri, Dah Penat Jadi Pelakon?
“Selama enam bulan saya tak dapat apa-apa tawaran sehingga terpaksa menggunakan duit simpanan untuk menampung perbelanjaan,” kata teraju utama filem Pencuri Hati Mr. Cinderella yang bakal ditayangkan pada 10 Ogos ini.

Kehabisan duit simpanan membuatkan Atikah nekad pulang ke Singapura dan terpaksa bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di sana sejak Julai lalu.
“Kini saya sedang bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai pegawai pemasaran sejak awal bulan Julai lalu. Saya tak letakkan masa berapa lama akan berehat tapi Insya-Allah saya akan kembali dalam dunia seni,” tambahnya lagi.
Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Suhaime, 26, menerusi laman sosial Instagram miliknya turut menjelaskan dia perlu mencari semangatnya yang hilang sebelum kembali beraksi di pentas hiburan semula.
Menerusi gambar yang dimuat naiknya beberapa hari lalu itu, dia mengakui turut merindui kehidupan lamanya yang lebih dekat dengan keluarganya.
Begitulah resam kehidupan, kadang-kadang kita berada di atas, kadang-kadang kita berada di bawah. Apa-apa pun kita doakan saja yang terbaik untuk Atikah. – MYNEWSHUB / Aisyah Karim