KUALA LUMPUR – Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM64.221 juta daripada Kerjaya Prospek Property Sdn Bhd untuk melaksanakan projek pembinaan di Jalan Puchong, Kuala Lumpur.
Kontrak tersebut adalah bagi kerja memantak cerucuk dan kerja sub-struktur berkaitan bagi cadangan pembangunan bercampur yang terdiri antara lainnya, hotel setinggi 25 tingkat dan bangunan pejabat serta dua blok bangunan pangsapuri berperkhidmatan 53 tingkat.
Kontrak itu dijangka bermula pada 2 Ogos, 2017 dan selesai pada 1 Okt, 2018, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Projek tersebut merupakan pemberian kontrak keempat bagi Kerjaya dalam tahun ini dan setakat ini bagi tahun ini telah memperoleh kontrak bernilai RM380 juta.
“Nilai perolehan kontrak Kerjaya Prospek berjumlah RM2.6 bilion, pada 31 Mac, 2017, dan paras tunai bersih sebanyak RM147.08 juta. Kami berada di landasan untuk mencapai satu lagi tahun cemerlang bagi kumpulan,” kata Pengerusi Eksekutifnya Datuk Tee Eng Ho.
Kontrak itu akan meningkatkan lagi dan mengukuhkan nilai perolehan kontrak kumpulan dan memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 2017 hingga 2018. – BERNAMA