PUTRAJAYA – Siasatan sebenarnya pernah dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kes pembelian sebuah hotel empat bintang Grand Plaza Kensington di ibu kota Britain.
Bangunan yang terletak di kawasan Lexham, London itu dibeli pada harga RM538 juta oleh Felda Investment Corporation (FIC), sebuah sayap pelaburan Felda. Namun pada 2015, SPRM mendapati tiada unsur penyelewengan.
Terbaharu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad memaklumkan pihaknya telah pun membuka kertas siasatan ke atas pembelian hotel itu antara tahun 2013 hingga 2015 setelah memperoleh maklumat baharu.
Katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di sini pada Jumaat, maklumat terkini berkenaan secara kebetulan diperoleh oleh pihak SPRM ketika melakukan siasatan terhadap isu Felda Global Ventures (FGV).
Grand Plaza Kensington merupakan pelaburan hartanah pertama bagi FIC dan kedua bagi Felda dalam industri perhotelan yang sebelum ini telahpun memiliki Grand Plaza Serviced Apartments di Bayswater pada 2012.
Ia merupakan sebuah hotel bertaraf 4 bintang dengan 62 unit bilik dan 2 unit servis apartment, terletak di daerah eksklusif di Kensington dan Chelsea berhampiran kawasan beli-belah popular iaitu Kensington High Street.
Kedudukan strategik hotel ini dan populariti London sebagai antara destinasi percutian utama di dunia terutama dalam kalangan rakyat Malaysia, merupakan antara faktor penting menjadikan hotel ini pilihan utama pengunjung.
Pengerusi Kumpulan Felda, Tan Sri Isa Samad ketika berucap merasmikannya berkata, “Pembelian ini merupakan sebahagian perancangan strategik FIC mempelbagaikan aset serta memastikan pulangan pelaburan maksimum.
Beliau malahan turut berkata bahawa hotel yang baharu sahaja dimiliki FIC ini mampu menjadi aset pelengkap kepada sebuah hotel milik FELDA di Bayswater, satu lagi kawasan tumpuan rakyat Malaysia di London.
“Grand Plaza Serviced Apartments menyasarkan pengunjung bercuti dengan keluarga atau berkumpulan, manakala Grand Plaza Kensington lebih kepada pengunjung yang inginkan penginapan mewah pada kadar yang berpatutan.
“Selain itu, hospitaliti Malaysia adalah antara terbaik di dunia dan kami yakin hotel ini dapat menarik pengunjung Malaysia dan asing dengan penawaran perkhidmatan terbaik serta pilihan juadah Malaysia yang lazat,” kata Isa.
Beliau turut menjelaskan bahawa dengan pembelian itu, jumlah keseluruhan hotel dan resort milik Felda telah mencecah 12 buah. Majlis itu disaksikan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif FIC, Mohd. Zaid Abdul Jalil yang menerangkan pembelian itu didorong sambutan diterima oleh Grand Plaza Serviced Apartments dengan purata kadar penginapan sebanyak 90 peratus.
“Malaysia merupakan antara pelabur aktif dalam pasaran hartanah di Britain terutamanya di London. Organisasi utama seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji dan PNB pun memiliki beberapa hartanah di seluruh United Kingdom.”
Mengulas lanjut Dzulkifli berkata, berdasarkan siasatan awal SPRM, FIC dipercayai berjaya membeli hotel mewah itu pada harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga menyebabkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.
“Siasatan yang lebih terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti sama ada memang wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses pembelian hotel tersebut,” jelas beliau. FIC ditubuhkan Felda pada 2 Julai 2013.
Ia sebenarnya merupakan sebuah anak syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang bertanggungjawab dalam usaha menjalankan aktiviti perniagaan tetapi bukan berbentuk perladangan.
Dzulkifli berkata, beberapa saksi penting turut akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan mengenai kes berkenaansebelum sebarang tindakan lanjut diambil. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

