Sejak kebelakangan ini, isu perkahwinan selebriti yang runtuh hebat diperkatakan di media. Antaranya penceraian penerbit Raja Azmi, disusuli pelakon drama Sari Yanti dan Ieda Moin.
Terbaharu, timbul pula desas desus perkahwinan kedua antara penyanyi Farah Asyikin dan Zaahier Stanley, seorang pelumba basikal profesional yang kini menceburi bidang pertanian di negara asalnya, Afrika Selatan telah berakhir.
Walau bagaimanapun, dalam laporan Berita Harian pada Jumaat, bekas peserta One In A Million itu menafikan perkhabaran penceraian mereka, namun mengakui, mereka kini sudah tidak tinggal serumah.
“Kami belum bercerai. Kami sudah tak sebumbung lebih kurang tujuh bulan. Saya kini tinggal dengan keluarga. Kami sekarang dalam fasa mencari jalan terbaik untuk menjernihkan rumah tangga. Apa yang terjadi kepada kami terlalu peribadi.
“Insya-Allah, saya mengharapkan yang terbaik untuk perkahwinan kedua ini. Kalau diizinkan, kami tak mahu berpisah. Mungkin anak antara sebab kuat kenapa perlu mempertahankan semua ini.”
Farah, 35, yang kini telah berhijab berkata, dia pelik apabila kisah rumah tangganya jadi perhatian umum setelah lama tidak muncul dengan cerita peribadi.
“Ini perkahwinan kedua saya. Jadi saya tahu apabila masalah ini timbul, akan ada yang pantas menyalahkan saya itu dan ini. Tapi sekarang saya hidup bukan atas kapasiti seorang diri lagi, saya ada anak. Jadi saya kena fikir cara terbaik untuk tangani permasalahan ini.”
Buat pihak di luar sana, usahlah mudah menjatuhkan hukum terhadap seseorang tanpa usul periksa.
Manakala buat Farah Asyikin, ibu kepada Ebrahim Owais, 8 bulan, semoga ikatan yang dibina bersama suami akan terus berkekalan. – MYNEWSHUB.CC
Farah Asyikin Dalam Satu Majlis Perkongsian Ilmu
https://www.youtube.com/watch?v=HPBigAlYYrU&spfreload=10


